Soalan lazim berkaitan dengan pembelajaran, sistem persekolahan, pentadbiran dan pelajar Maahad Tahfiz Sains Tumpat.

Permohonan adalah terbuka kepada semua murid yang tamat sekolah rendah atau yang setaraf dengannya. Walaubagaimana pun, keutamaan diberikan kepada murid yang mendapat keputusan UPSR 6A pada tahun semasa. Sesi temuduga akan dijalankan kepada murid yang layak.

Borang kemasukan pelajar baru akan dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan selepas peperiksaan UPSR. Borang tersebut boleh didapatkan di pejabat Yayasan Islam Kelantan atau di pejabat Maahad Tahfiz Sains Tumpat dan lain-lain sekolah Maahad Tahfiz Sains kelolaan YIK..

[Pautan : Cara permohonan dan syarat kemasukan ke Maahad Tahfiz Sains]

Secara ringkasnya, sistem pembelajaran yang diguna pakai di Maahad Tahfiz Sains Tumpat adalah menggabungkan tiga sistem iaitu pengajian ilmu-ilmu al-Quran, ilmu diniah (arab & agama) dan ilmu akademik.

Selain daripada menghafaz 30 juzuk Al Quran, ilmu-ilmu pengajian Al-Quran adalah merangkumi ilmu Adab Al-Quran, Tajwid dll.

Manakala ilmu diniah diajar berasaskan sukatan universiti Al Azhar, Mesir yang telah disusun semula oleh Yayasan Islam Kelantan. Matapelajaran ini termasuk ilmu feqah, tauhid, hadis, mutalaah yang diajar dalam bahasa arab.

Sukatan akademik pula adalah berasaskan KSSM seperti mana yang diajar di sekolah menengah kebangsaan yang lain. Matapelajaran yang diajar adalah 9 sukatan matapelajaran untuk PT3 seperti matematik, bahasa inggeris dan sains.

Selepas tamat tingkatan 3 dan menduduki PT3 pelajar-pelajar ini akan diserap ke Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas dan seterusnya menduduki SMU di tingkatan 4 dan SPM.

** Nota : MTST hanya menawarkan pengajian hingga ke tingkatan 3

Secara umumnya sukatan hafazan al-Quran bagi Maahad Tahfiz Sains mengikut tingkatan adalah seperti berikut :

Tingkatan 1 : 6 juzuk

Tingkatan 2 : 7 juzuk

Tingkatan 3 : 6 juzuk

Tingkatan 4 : 7 juzuk

Tingkatan 5 : 4 juzuk

 

Maklumat lanjut tentang sukatan tersebut boleh didapati diruangan muat turun, ataupun dengan menggunakan pautan pautan di bawah.

[ Pautan : Sukatan al-quran MTS Tumpat ]

Model Sistem Tahfiz Al-Quran yang digunapakai di MTSBA adalah seperti yang telah dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan melalui buku Sistem Tahfiz Al-Quran (manual guru) Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan.


Model ini mengandungi 8 kaedah yang berturutan iaitu :

1. Kaedah Talaqi

2. Kaedah tulis

3. Kaedah Hafaz

4. Kaedah Semak

5. Kaedah Tasmi'

6. Kaedah Murajaah Hafazan Baru (juzu' semasa)

7. Kaedah Murajaah Hafazan Lama (juzu' lepas)

8. Kaedah pindah juzu'

Secara amnya, tiada perbezaan hari cuti antara sekolah tahfiz dan sekolah berasrama kementerian. MTSBA mempunyai cuti pertengahan penggal, cuti penggal 1 dan cuti akhir tahun sama seperti sekolah biasa selain daripada cuti-cuti umum yang lain. Walaubagaimanapun tarikh dan tempoh kesemua cuti tersebut adalah tertakluk pada takwim rasmi yang dikeluarkan oleh bahagian pejabat Yayasan Islam Kelantan.

Bagi sekolah-sekolah tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan, telah diperuntukkan cuti khas dua hari dalam bulan-bulan tertentu untuk pelajar pulang bercuti.

Cuti Tahfiz kebiasaannya adalah sebelum atau selepas hujung minggu mejadikan empat hari cuti untuk pelajar pulang ke rumah masing-masing dan meluangkan masa bersama keluarga melainkan jika sekolah telah merancang suatu program khas untuk pelajar pada hari cuti tersebut. Ia akan dimaklumkan kepada penjaga terlebih dahulu.

Kesemua tarikh hari cuti tahfiz boleh dirujuk di dalam lampiran takwim persekolahan.

  Muat turun takwim persekolahan terbaru

 

Untuk sebarang idea dan maklum balas, pelawat boleh berhubung terus dengan

Bahagian pentadbiran MTSBA

No tel : 09-7258979 / 09-7960130

 

Atau sumbangan wang ringgit boleh disalurkan ke

Bank Muamalat

PIBG MAAHAD TAHFIZ SAINS TUMPAT

No akaun : 03 0100 0574 8710